
Isu panas minggu lepas di persada arus politik negara apabila ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim dari DAP menggunakan hadis semasa berhujah di Persidangan DUN Negeri Selangor 12 Julai lepas.
Ketua Pembangkang negeri Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman sepertimana dilaporkan media tempatan mengatakan ADUN DAP itu tidak layak untuk membicarakan soal hadis kerana beliau bukan seorang Muslim selain tidak memahami agama Islam termasuk tidak memahami hadis Rasulullah SAW itu sendiri.Menurut beliau lagi tindakan Suee Lim itu bukan untuk menyokong hujah, sebaliknya mengguna serta mempersendakan sabda Rasulullah SAW untuk kepentingan politik.Ekoran tindakan itu,Mohamad Satim telah dikenakan tindakan dihalau daripada sidang dewan pada hari berkenaan oleh Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim.
Pas Selangor sepertimana dilaporkan media tempatan telah menyatakan pendirian mempertahankan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim serta mana-mana pemimpin bukan Islam lain di negeri ini untuk menggunakan hadis dalam mana-mana ceramah termasuk dalam perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Khalid Abdul Samad , tindakan pemimpin bukan Islam menggunakan hadis termasuk ayat al-Quran dalam perbahasan dan ucapan tertentu bukannya satu kesalahan selagi ia tidak lari daripada maksud sebenar.Alasan beliau, agama Islam, al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT manakala hadis yang disampaikan oleh Rasulullah SAW adalah sebagai panduan,kebenaran kepada umat manusia sehingga hari ini.Justeru itu, beliau berpendapat,tiada masalah kalau orang bukan Islam mahu menggunakan hadis untuk menerangkan sesuatu perkara.
Di dalam Al-Quran dan Hadis terdapat bukti-bukti tentang kekuasaan Allah dan kebenaran agama Islam kepada semua termasuklah kepada orang-orang bukan Islam. Seorang pendakwah Islam perlu berhujah menggunakan sumber dari Al-Quran dan Hadis disamping akal dan ilmu pengetahuan.Berdasarkan sejarah,bacaan Al-Quran oleh Fatimah telah menyebabkan Saidina Umar Al-Khatab tertarik dan seterusnya memeluk agama Islam.
Untuk renungan kita semua berikut diperturunkan beberapa pendapat ulamak terdahulu mengenai hukum orang kafir membaca Al-Quran atau Hadis Rasulullah saw. Antaranya:-
1. Imam Ramli dalam kitabnya ihaayatu al Muhtaj (ulamak Mazhab Syafie) mengatakan Orang kafir tidak ditegah untuk membaca Al- Quran kerana mereka tidak percaya kepada kehormatannya.
2.Ada dari kalangan Mazhab Hambali mengatakan Haram bagi orang kafir zimmi atau yang lainnya untuk membaca al-Quran. Ini kerana mereka yang lebih patut ditegah daripada orang yang berjunub.
3.Pendapat Syeikh Atiyyah Saqr (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ) mengatakan golongan bukan Islam tidak ditaklifkan dengan syariat
dan hukum-hakam Islam kerana asal syariat tidak terdapat di sisinya. Oleh itu mereka tiadalah halangan (boleh) bagi mereka untuk membaca, membawa dan menyentuh al-Quran al-Karim walaupun tanpa wudhuk.
4.Ada juga ulama yang berpendapat golongan bukan Islam turut ditaklifkan dengan hukum-hakam dan permasalahannya.Oleh itu mereka juga akan dihisab oleh Allah Taala di atas pentaklifan syariat ini. Justeru itu mereka tidak dibolehkan untuk membaca, menyentuh atau membawa al-Quran al-Karim jika tidak berada di dalam keadaan bersuci. Jika perkara itu masih lagi terdapat khilaf maka tiadalah halangan (boleh) dari mengambil salah satu pandangan ulama khususnya jika terdapat keadaan yang memerlukan yang demikan.
Justeru itu,pada pandangan peribadi saya ,untuk kita berdakwah kepada bukan Islam kita hendaklah berdakwah secara bijaksana dan penuh berhikmah agar Islam ini terus dipandang mulia.Ketepikan kepentingan politik dan peribadi.Lakukan segalanya kerana ALLAH,nescaya kita mendapat keredaannya di dunia dan akhirat.Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan