SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam berpuas hati dengan laporan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung operasi penguatkuasaan ke atas majlis Thanks Giving Dinner di sebuah gereja di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.
Baginda mengakui sudah meneliti laporan tersebut dengan terperinci dan berpuas hati dengan tindakan JAIS yang dianggap mengikut prosedur serta tidak menyalahi mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di negeri itu.
Titah baginda, tindakan JAIS itu selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.
“Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor amat mengambil berat atas tindakan yang dilakukan dan berharap agar rakyat tanpa mengira bangsa dan agama tidak menyalah anggap dan mempertikaikan tindakan JAIS tersebut sebelum mengetahui dengan jelas fakta sebenar mengenai tindakan yang telah diambil.
Sumber:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm
“Sebagai sebuah jabatan kerajaan negeri yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Islam dalam negeri ini, JAIS mempunyai tugas yang berat untuk memastikan agama Islam sentiasa dipelihara dan dimartabatkan selaras dengan kedudukannya sebagai agama negeri Selangor di bawah Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan juga agama Persekutuan di bawah Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda menerusi satu kenyataan di sini semalam.
Baginda bertitah demikian sebagai mengulas laporan penuh mengenai pemeriksaan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JAIS ke atas majlis Thanks Giving Dinner yang diadakan di Damansara Utama Methodist Centre (DUMC), Dewan 3, Kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan